Syaitan akan menguasai tubuh badan manusia melalui 10 pintu :
1. Sifat sombong dan angkuh.
Dua sifat ini
amat mudah tersemai dan menyubur dalam diri manusia. Ia berpunca daripada
keegoan manusia itu sendiri yang lazimnya akan mudah hanyut ketika dilimpahi
kemewahan.
2. Sifat bakhil dan kedekut.
Setiap harta benda
dan kemewahan diperoleh adalah kurniaan Allah yang seharusnya dibelanjakan ke
jalan yang hak. Ia boleh digunakan untuk membantu orang memerlukan sama ada
melalui kewajipan berzakat atau bersedekah.
3. Sifat takbur dan bongkak.
Sifat ini
selalunya bertapak dalam diri manusia yang berasakan dia sudah memiliki
segala-galanya dalam hidup ini. Mereka terlupa bahawa kesenangan dan kenikmatan
yang dikurniakan itu boleh ditarik Allah pada bila-bila masa saja.
Allah
berfirman bermaksud: “Sesungguhnya Dia tidak menyukai orang yang takbur.”
(an-Nahl:23)
4. Sifat khianat.
Khianat dimaksudkan bukan saja
melalui perbuatan merosakkan sesuatu yang menjadi milik orang lain, tetapi juga
mengkhianati hidup orang lain dengan tidak mematuhi apa-apa bentuk perjanjian,
perkongsian dan sebagainya.
5. Sifat tidak suka menerima ilmu dan nasihat.
Rasulullah selalu menasihati sahabat Baginda agar menjauhkan diri masing-masing
daripada menjadi golongan keempat daripada kalangan manusia dibenci Allah iaitu
golongan yang tidak suka diri mereka dinasihati atau mendengar nasihat orang
lain.
6. Sifat hasad.
Perasaan hasad dengki
selalunya akan diikuti dengan rasa benci dan dendam berpanjangan. Rasulullah
SAW pernah bersabda bermaksud: “Hindarilah kamu daripada sifat hasad kerana ia
akan memakan amalan kamu seperti api memakan kayu kering ” (Riwayat Bukhori dan
Muslim).
7. Sifat suka meremehkan orang lain.
Sifat
ego manusia ini selalunya akan lahir apabila seseorang individu itu berasakan
dirinya sudah sempurna jika dibandingkan dengan orang lain. Orang lain dilihat
terlalu kecil dan kerdil jika dibandingkan dengan apa yang dia miliki. Abu
Umamah pernah meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Tiga
kelompok manusia yang tidak boleh dihina kecuali orang munafik ialah orang tua
Muslim, orang berilmu dan imam yang adil.” (Riwayat Muslim).
8. Sifat ujub atau bangga diri.
Menurut Imam
Ahmad, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Jangan kamu bersenang lenang
dalam kemewahan kerana sesungguhnya hamba Allah itu bukan orang yang
bersenang-senang saja.”
(Riwayat Abu Naim daripada Muaz bin Jabal)
9. Sifat suka berangan-angan.
Islam adalah
antikemalasan. Orang yang berat tulang untuk berusaha bagi mencapai
kecemerlangan dalam hidup akan dipandang hina oleh Allah dan manusia. Mereka
lebih gemar berpeluk tubuh dan menyimpan impian tinggi tetapi amat malas
berusaha memperolehnya.
10. Sifat buruk sangka.
Seseorang suka menuduh orang lain melakukan kejahatan tanpa diselidiki terlebih
dulu amat dicela Islam. Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Nanti akan ada
seseorang berkata kepada orang ramai bahawa mereka sudah rosak. Sesungguhnya
orang yang berkata itu sebenarnya sudah rosak dirinya.” (Riwayat Muslim)
0 comments:
Post a Comment